Saturday, July 9, 2011

Sejarah Melayu - Kemahiran Insaniah (Komunikasi berimplikatur)

1.1 Pendahuluan

Kemahiran insaniah merangkumi pelbagai kemahiran termasuklah kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional dan kemahiran kepimpinan (Kementerian Pengajian Tinggi, 2006). Daripada elemen-elemen yang terdapat dalam kemahiran kemahiran insaniah ini, aspek komunikasi merupakan aspek yang penting dan sering diberikan tumpuan. Tumpuan banyak diberikan kepada aspek komunikasi kerana pengkaji-pengkaji-pengkaji terdahulu mendapati bahawa komunikasi yang lemah merupakan punca kepada kebanyakan masalah berlaku dan komunikasi yang efektif adalah penyelesaian kepada kebanyakan masalah (Pearson & Nelson, 2000).

Menurut Fisher (1996), ilmu komunikasi mencakupi bidang yang luas dan bersifat rentas disiplin. Hal ini terbukti melalui tokoh-tokoh yang terlibat dalam bidang ini datang dari pelbagai latar belakang. Antaranya, Harold J. Lasswell,( Sains Politik), Max Weber, Daniel Larner, dan Everatt M. Rogers ( Sosiologi), Carl I. Hoveland dan Paul Lazarfeld ( Psikologi), Wilbur Schramm (Bahasa) Shannon dan Weaver ( Matematik dan Teknik ). Kajian tentang komunikasi semakin menjadi tumpuan ahli-ahli bahasa sejak akhir-akhir ini. Para Pengkaji telah menggunakan pelbagai teori dan pendapat berdasarkan bidang kajian masing-masing. Dapatan kajian telah membuktikan bahawa aspek komunikasi merupakan aspek yang luas dan masih banyak bidang perlu dikaji. Berkomunikasi merupakan suatu keperluan individu setiap hari yang bertujuan sama ada melahirkan pendapat, perasaan, berkongsi atau bertukar-tukar idea, maklumat dan perasaan dengan orang lain melalui proses yang berlangsung dengan baik ( Abdul Mua’ti: 2005)

Komunikasi melibatkan proses interaksi dan transaksi ( Mohammad Yusof : 2007). Kedua-dua proses ini berlaku serentak. Interaksi adalah komunikasi pertukaran yang melibatkan individu menunggu giliran untuk menghantar dan menerima mesej. Sementara transaksi pula ialah lanjutan daripada interaksi. Transaksi melibatkan proses menghantar ( enkod) dan menerima ( dekod) mesej pada masa yang sama. Transaksi berlaku sebagai satu proses mencipta makna antara si penghantar mesej dengan sipenerima mesej. Menurut Verderber ( 1996), proses demikian adalah proses mencipta makna.

Semasa komunikasi berlaku, penyampai akan menyampaikan mesej kepada penerima. Mesej yang diterima akan ditafsir dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan makna mesej tersebut. Komunikasi ini menjadi mudah jika ujaran yang diluahkan oleh penghantar mesej tidak mempunyai makna yang tersirat. Dalam masyarakat Melayu yang terkenal dalam kesantunan bahasanya, adakalanya perkara yang disampaikan tidak seperti yang diucapkan. Thomas (1995) mengatakan manusia tidak selalunya atau biasanya bercakap apa-apa yang cuba dimaksudkan. Penutur pada kebiasaanya cuba menyampaikan sesuatu melebihi maksud perkataan yang diujarkan. Secara mudahnya dapat dikatakan bahawa ujaran yang dilahirkan itu tidak semestinya mengandungi maksud seperti yang diucapkan. Hal ini memerlukan minda memproses ujaran tersebut untuk mendapatkan makna yang tepat. Proses menentukan makna ujaran ini bukanlah suatu perkara yang mudah kerana proses ini melibatkan proses minda yang kompleks (Akmajian: 2002). Sekiranya penerima tersalah tafsir makna mesej tersebut maka komunikasi akan gagal.

. Sehubungan itu, pendengar terpaksa membuat tafsiran yang mendalam terhadap sesuatu ujaran yang didengarinya. Semasa membuat tafsiran makna, aspek-aspek yang lain seperti konteks (termasuk sosial dan budaya) dan niat penutur tidak harus diketepikan. Dalam hal ini, penentuan makna yang diujarkan oleh penutur bergantung kepada penggunaannya mengikut konteks kerana konteks wujud dalam pelbagai kemungkinan pengertian menurut setiap perspektifnya ( Hussin 2010)

Untuk mengkaji makna sesuatu komunikasi ( ujaran) lisan itu, bidang pragmatik merupakan bidang yang sangat sesuai. Konsep implikatur dan eksplikatur yang disepadukan dalam Teori Relevans ( Sperber & Wilson, 2002) akan digunakan bagi mendapatkan makna abstrak, taksa dan eliptik. Bidang pragmatik sering dimaksudkan sebagai kajian tentang penggunaan bahasa dan berbeza dengan kajian tentang bahasa, yang lebih menumpukan kepada huraian bahasa daripada segi strukturnya. Bidang ini semakin mendalam dikaji setelah Grice ( dalam Leech: 1993) satu konsep baru iaitu implikatur.

Menurut Nor Hashimah (1992), implikatur dalam erti kata yang mudah ialah mesej yang tersirat yang disampaikan oleh penutur dalam perbualan. Mesej yang diperoleh merupakan apa-apa yang dideduksikan daripada apa-apa yang diperkatakan. Implikatur merupakan satu aspek penting dalam bidang pragmatik, iaitu bidang yang mengkaji hubungan bahasa dengan konteks. Carston (1988) menyatakan implikatur ialah mengenai mesej yang tersirat yang cuba disampaikan dengan ujaran yang tersurat. Implikatur melibatkan apa-apa yang diujarkan secara eksplisit dan juga apa-apa yang dilahirkan secara implisit ( Jalaluddin, 2003)

Dalam sesuatu komunikasi, penutur tidak sentiasa menyatakan maksud tersurat dalam pertuturannya, sebaliknya mungkin mengandungi makna tersirat. Apabila pendengar memahami maksud yang hendak disampaikan oleh penutur, komunikasi akan berjalan lancar. sebaliknya masalah akan timbul sekiranya pendengar tidak memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penutur. Oleh yang demikian, untuk memahami maksud dari pertuturan berimplikatur, Grice ( dalam Leech :1993) menyatakan bahawa terdapat beberapa prinsip bahasa (maxims) yang dapat menjelaskan hal tersebut. Menurut beliau, penutur perlu menyampaikan komunikasi atau ujarannya sesuai dengan konteks ketika komunikasi berlaku.

Dengan sifatnya yang tersirat, implikatur mempunyai sifat kebarangkalian yang tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui secara pasti sesuatu yang dimaksudkan oleh penutur dengan ujarannya. Semua ujaran terlebih dahulu ditentukan oleh konteks. Oleh itu, untuk mengenal pasti implikatur dalam sesuatu ujaran, pihak pendengar perlu bijak membuat andaian-andaian, seterusnya membuat kesimpulan berdasarkan pemahaman pendengar tentang mesej setelah mengambil kira konteks tertentu semasa sesuatu ujaran dituturkan.

Sehubungan dengan itu, disebabkan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi kerap berkomunikasi dengan komunikasi berimplikatur, maka kajian dan model yang sesuai harus dibina dan digunakan untuk mengkaji fenomena tersebut.

1.2 Latar belakang masalah

Kajian tentang makna dalam bahasa Melayu banyak dikaji oleh ahli-ahli bahasa dan pengkaji tempatan seperti Zaba (1965)( dalam, Jalaludin (1992), Hamid (1991), Omar (1985), Musa (1998), Othman (1999), Musanif (2001), Hamzah (2002), dan Jalaludin dan Mat Awal (2006). Pelbagai teori dan pendapat telah dikemukakan berdasarkan kepakaran bidang masing-masing. Kebanyakan kajian condong kepada bidang makna bahasa berdasarkan makna imbuhan makna ayat, tatabahasa dan sebagainya. Namun, terdapat juga pengkaji yang mengkaji bidang bahasa lebih luas melangkaui bidang tatabahasa seperti bidang pragmatik, analisis wacana, makna ujaran dan perbualan dan implikatur seperti Ghani Ismail ( 2005) Mustaffa ( 2010 ), Hussin 2009). Pengkaji-pengkaji luar negara seperti Indonesia seperti Chusni Hadiati (2007), Emsi Sigian (2007) juga tidak ketinggalan menjalankan kajian yang berkaitan dengan makna dalam pertuturan. Selain itu terdapat juga sarjana-sarjana barat seperti Veronica Vivanco ( 2006 ) dari Sepanyol, Uli Sauerland ( 2009 ) dari Jerman, Shazali Mustaffa (2010 ) dari Sudan juga membuat kajian dalam bidang tersebut. Dapatan kajian pengkaji-pengkaji terdahulu telah dapat memperkaya khazanah berkaitan bahasa. Hal ini merupakan indikator yang dapat menunjukkan bahawa terdapat ruang lingkup yang amat luas untuk mengkaji sesuatu aspek bahasa.

Antara bidang yang sedang mendapat perhatian pada era ini ialah kajian berkaitan dengan implikatur. Implikatur adalah aspek ketersiratan makna sesuatu ujaran selain melihat hajat sebenar si penutur terhadap komunikasi yang disampaikan(Jacobsen: 2010). Apabila sesuatu proses komunikasi lisan berlaku penutur akan menyampaikan mesej dengan sebaik yang mungkin. Penerima atau pendengar perlu memberi makna yang tepat kepada mesej penyampai supaya bertepatan dengan maksud penyampai. Namun begitu, kebiasaanya sesuatu mesej itu diberi interpretasi yang pelbagai. Makna bukanlah mesej tetapi pengertian yang diberikan terhadap mesej. Makna terhadap mesej lebih mudah diberikan jika penerima atau pendengar mempunyai pengalaman. Perkataan tidak mempunyai makna sebaliknya manusialah yang mencipta makna secara individu. ( Fauzi :2001 ). Komunikasi seperti ini dinamakan komunikasi berimplikatur. Wright David (2008) mengatakan apabila berlaku komunikasi berimplikatur, pendengar perlu mengisi kekosongan maklumat yang hilang atau tidak dinyatakan secara tersurat. Maklumat ini biasanya diisikan berdasarkan konteks atau pengalaman sebelumnya. Secara mudahnya, mesej tersirat yang cuba disampaikan secara tersurat dinamakan implikatur.

Kajian mengenai implikatur ini bukan sahaja dapat dijalankan terhadap pertuturan perbualan secara lisan malah dapat juga dilakukan terhadap komunikasi yang terdapat dalam teks. Mustaffa (2010), Ronald R Jacobsen( 2010) menyatakan sesuatu ujaran itu tidak hanya dilatari oleh satu maksud sahaja tetapi ada maksud lain yang terselindung di sebalik kata-kata yang digunakan dalam ujarannya.

Implikatur boleh dibahagikan kepada dua iaitu implikatur konvensional dan implikatur nonkonvensional atau implikatur pertuturan. Implikatur konvensional mengandungi implikasi yang yang diperoleh secara langsung dari makna kata yang dituturkan. Di samping itu, implikatur konvesional juga dianggap mengandungi makna yang relatif tetap. Implikatur nonkonvensional atau implikatur pertuturan mengandungi makna tidak langsung dan melibatkan konteks atau suasana yang melatari pertuturan.

Implikatur merupakan salah satu bahagian dalam pragmatik. Istilah implikatur ini menjadi popular setelah diperkenalkan oleh Grice. Mengikut Grice ( dalam Hussin :2010), implikatur adalah satu bentuk pentafsiran makna yang melewati batas-batas makna literal sesebuah ayat. implikatur pertuturan dianggap sebagai kenyataan yang harus diambil kira oleh pendengar tentang sesuatu mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang penutur kepada pendengar dengan membuat andaian-andaian. Grice memberi contoh, katakan A dan B membincangkan tentang rakan mereka iaitu C yang bekerja di sebuah bank. A bertanya kepada B tentang keadaan kerja C. B menjelaskan bahawa keadaan C agak baik dan dia menyukai rakan setugasnya serta belum dipenjarakan.

Daripada contoh yang diberi Grice menjelaskan bahawa nyata sekali yang diimplikasikan oleh B berbeza sekali dengan jawapan yang dinyatakan oleh B sendiri. Implikatur perbualan yang diperoleh daripada ujaran di atas sebenarnya berbekalkan konteks yang difahami oleh A dan B. Sebenarnya yang cuba disampaikan oleh B ialah C telah berubah sikap dan mula tidak jujur dengan pekerjaannya.

Penggunaan istilah implikatur nonkonvensional berkembang dengan penggunaan istilah implikatur pertuturan. Makna yang terdapat pada implikatur pertuturan merupakan suatu yang diniatkan oleh penutur. Makna yang diniatkan oleh penutur berbeza pertuturan yang disampaikan secara harfiah. Grice ( dalam Leech :1993) menyatakan bahwa implikatur pertuturan diertikan sebagai makna tidak langsung yang ditimbulkan oleh apa-apa yang dituturkan oleh penutur.

Untuk mentafsir makna, pragmatik merupakan prinsip yamg paling sesuai digunakan. Pragmatik secara mudah boleh ditakrifkan sebagai kajian yang mengkaji bagaimana ujaran mendapat maknanya apabila digunakan dalam keadaan tertentu (Leech : 1993). Oleh yang demikian untuk mengkaji komunikasi berimplikatur, pengkaji akan mengunakan cara prinsip tersebut.

Menurut Leech (1993) , pragmatik sebagai bidang bahasa yang mengkaji cara suatu ujaran itu mendapat makna apabila digunakan dalam konteks tertentu. Pragmatik mengutamakan penginterpretasian makna ujaran yang ada hubungannya dengan konteks situasi, tujuan penutur itu menghasilkan ujaran, dan cara pendengar menerima dan memahami ujaran itu. Pragmatik memfokuskan kepada tiga kemahiran komunikasi, iaitu; pertama penggunaan bahasa untuk tujuan tertentu seperti menyampaikan ucapan, membuat makluman, permintaan, membuat janji, dan juga tuntutan. Kedua, membuat penyesuaian atau membuat pertukaran bahasa berdasarkan kontek, situasi dan keperluan pendengar, dan ketiga untuk mematuhi peraturan perbualan dan peraturan cerita. Menurut Levenson ( 1997), pragmatik menggabungkan makna bukan linguistik dengan ilmu semantik bagi memberikan interpretasi makna dengan menyeluruh. Oleh itu dapat disimpulkan pragmatik adalah ilmu tentang penginterpretasian makna ujaran Dengan kata lain, bidang pragmatik merupakan bidang yang sangat sesuai untuk mengkaji maksud tersirat dalam pertuturan atau komunikasi.

Implikatur dalam pertuturan ini sememangnya wujud dalam masyarakat Melayu. Taslim ( 2010) menyatakan bahawa manusia Melayu itu sebagai manusia yang berbudaya halus, bersopan santun, sangat mementingkan adab ketika berkomunikasi, enggan bersikap biadap dan menjadikan kiasan dan perumpamaan sebagai budaya. Hal ini dibuktikan melalui pelbagai bentuk ungkapan bahasa dalam pelbagai hikayat Melayu seperti yang dihuraikan oleh Noriah ( 1990, 1995,1996). Di samping itu, kesantunan Melayu merupakan kesantunan yang memancarkan nilai-nilai asas adat dan budaya Melayu yang berteraskan ajaran islam. Kesantunan mencakupi aspek bahasa ketika berkomunikasi. Penggunaan bahasa yang sopan dan berbudi bahasa sudah terdapat dalam dalam budaya Melayu sejak turun temurun dari satu generasi ke satu generasi yang lain sebagai warisan budaya yang sentiasa dipelihara. Musanif ( 2007) mengatakan dalam komunikasi antara penutur dan pendengar, budaya sopan santun sangat penting untuk memelihara hubungan antara dua pihak dan memelihara komunikasi tersebut agar dapat berterusan dalam keadaan yang selesa. Perkara ini terjadi kerana tradisi pemikiran Melayu menggunakan bahasa sebagai alat untuk membentuk makna makna kehidupan dan makna alamnya secara sangat kreatif dan produktif ( Ahmad: 2004)

Seterusnya Robert Sibarani M.S (2004), menegaskan bahawa dalam berkomunikasi, kesantunan berbahasa amat diperlukan kerana kesantunan berbahasa akan melancarkan penyampaian mesej dalam komunikasi. kesantunan bahasa tercermin dalam tatacara berkomunikasi dan dalam berkomunikasi, kita harus tunduk kepada norma-norma budaya. Tatacara berbahasa harus sesuai dengan norma-norma budaya yang hidup dalam masyarakat dan dipergunakannya suatu bahasa. Apabila tatacara berbahasa seseorang tidak tidak sesuai dengan norma-norma budaya,maka seseorang itu dituduh tidak beradat atau tidak berbudaya.

Oleh yang demikian, dalam perbualan orang Melayu, mesej yang ingin disampaikan oleh penutur seakan-akan ditapis terlebih dahulu. percakapan yang tidak langsung ini dapat dilihat dari aspek sosiolinguistik dan juga pragmatik. Keadaan ini memerlukan pendengar menganalisis untuk mengetahui hajat sebenar penutur. Pendengar perlu menyaring, menganalisis , dan membongkar mesej yang cuba disampaikan oleh penutur. Jadi, terpulanglah kepada pendengar untuk memahami mesej-mesej tersirat ketika berlangsungnya proses komunikasi. Keupayaan pendengar memproses mesej yang diterima dalam sesuatu komunikasi membolehkan pendengar memahami implikatur yang terkandung dalam komunikasi. Secara saintifiknya, teori yang mementingkan pemprosesan maklumat dan mampu membantu pendengar memahami penggunaan implikatur dalam komunikasi ialah Teori Relevans.

Dalam masyarakat Melayu komunikasi berimplikatur bukan sahaja terdapat dalam pertuturan secara lisan malah terkandung dalam dialog yang dituliskan dalam buku atau teks klasik misalnya teks Sejarah Melayu. Oleh yang demikian kajian ini cuba meneliti persepsi yang selalu digambarkan bahawa masyarakat Melayu amat mengutamakan dan memelihara kesopanan dan kesantunan ketika berkomunikasi (berimplikatur) dalam apa-apa jua situasi dan aspek kehidupan. Data tentang komunikasi berimplikatur ini diambil daripada Teks Sejarah Melayu.

1.3 PERNYATAAN MASALAH

Ujaran yang dituturkan oleh individu itu mengandungi maksud dan makna tertentu. Pentafsiran yang salah terhadap penggunaan ayat yang berbagai-bagai dalam bentuk perbualan dan penulisan memberi implikasi terhadap ketepatan maksud. ( Hashim Fauzy 2001). Hal ini disebabkan ketetapan maksud ujaran seseorang tidak dapat diukur menerusi ungkapan semata-mata kerana ada kalanya seseorang itu mempunyai maksud yang lain, bukan seperti yang diucapkan mengikut pemahaman pendengar pada ketika itu. Masyarakat Melayu sangat mengutamakan kesantunan dan kesopanan ketika berbahasa dan berkomunikasi. Sesuatu hajat dan keinginan disampaikan secara berselindung dan berlapik melalui ujaran yang dilafazkan.( Sariyan: 2007) . Dengan erti kata yang lain, apa-apa yang diungkapkan secara tersurat sebenarnya mempunyai makna yang tersirat (implikatur) yang melatarinya. Perkara ini bukan sahaja terdapat dalam pertuturan lisan malah terdapat dalam teks yang dikarang oleh pengarang-pengarang tersohor sejak zaman dahulu lagi contohnya teks Sejarah Melayu. Sejarah Melayu merupakan sebuah teks yang diiktiraf UNESCO sebagai karya agung warisan dunia (Sarji: 2004). Oleh yang demikian wajarlah teks ini dikaji dan ditingkatkan lagi martabatnya agar terus berada ditempat yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, kajian mengenainya amat kurang dilakukan ( Osman : 2006) khasnya dalam aspek komunikasi berimplikatur. Justeru, fenomena inilah yang menjuruskan pengkaji untuk meneliti unsur-unsur komunikasi berimplikatur yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu dan seterusnya menghasilkan satu model komunikasi berimplikatur dari sudut pandangan budaya Melayu.

1.4 Objektif kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji komunikasi berimplikatur yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu. Secara khususnya objektif kajian adalah untuk

(i). menganalisis penggunaan komunikasi berimplikatur dalam Teks Sejarah Melayu

(ii). mengenalpasti fungsi komunikasi berimplikatur dalam teks Sejarah Melayu

(iii). membincangkan sejauh mana komunikasi berimplikatur dapat menyampaikan mesej kepada pendengar

(iv). menghasilkan model komunikasi berimplikatur

1,5 Persoalan Kajian

Dalam kajian ini pengkaji akan mengupas dan menganalisis komunikasi berimplikatur yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu. Berdasarkan objektif yang ingin dicapai, kajian ini dilakukan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut

(i) Adakah semua komunikasi dalam teks Sejarah Melayu merupakan komunikasi berimplikatur?

(ii) Apakah fungsi penggunaan komunikasi berimplikatur dalam teks Sejarah Melayu?

(iii) Adakah mesej yang disampaikan oleh penutur dengan menggunakan komunikasi berimplikatur dapat diterima dan difahami oleh pendengar

(iv) Apakah terdapat model yang sesuai dijadikan panduan untuk menganalisis komunikasi berimplikatur di negara ini

1.6 Kepentingan Kajian

Hasil dapatan kajian ini diharapkan dapat memberi sumbangan kepada pihak-pihak tertentu bagi mengekalkan keindahan , kesenian dan kesopanan bahasa Melayu dan seterusnya mengekalkan seni warisan yang yang telah diamalkan turun temurun. Oleh yang demikian, hasi kajian ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pihak-pihak berikut.

1.6.1 Pengkaji-pengkaji Bahasa Melayu

Masyarakat melayu merupakan sebuah masyrakat yang memiliki dan mengamalkan kehalusan dan kesopanan ketika berbahasa. Lazimnya sesuatu maksud yang ingin disampaikan akan dipersembahkan secara tidak langsung. Kajian mengenai komunikasi berimplikatur dalam masyarakat Melayu amat kurang dijalankan. kekurangan kajian ini menyebabkan sumber yang boleh dijadikan rujukan amat kurang. oleh yang demikian adalah diharapkan kajian ini akan menambahkan lagi koleksi kajian berkaitan implikatur dan seterusnya boleh dijadikan rujukan kepada pengkaji-pengkaji yang akan datang.

1.6.2 Golongan Remaja

Kajian ini juga bertujuan untuk mengangkat lagi martabat teks sejarah Melayu yang telah diiktiraf sebagai teks warisan dunia. Untuk mengekalkan kedudukannya dan meningkatkan lagi martabatnya maka pengkaji merasakan adalah sangat perlu teks ini dikaji dan dikembangkan kajian mengenainya supaya generasi akan datang dapat memahami tentang keunikan dan keindahan yang terkandung didalamnya. selain menunjukkan kehebatan dan keagungan zaman kesultanan Melayu, teks ini juga memaparkan cara berkomunikasi yang begitu halus dan bersopan. Setiap ujaran disampaikan secara berlapik atau secara tidak langsung. Memandangkan keadaan masyarakat sekarang yang kurang gemar atau pun boleh dikatakan tidak berupaya menggunakan komunikasi yang halus dan bersopan maka hasil kajian ini diharapkan berupaya membuka minda pembaca tentang cara berkomunikasi yang lebih halus dan bersopan khasnya penggunaan implikatur dalam pertuturan.

1.6.3 Golongan Penulis

Seterusnya dalam proses berkomunikasi, secara sedar atau tidak penutur akan menggunakan pelbagai jenis ayat dan ragam bahasa seperti peribahasa, ironi, ragam bahasa dan sebagainya. Penggunaan bentuk-bentuk bahasa yang pelbagai akan melibatkan ungkapan yang mempunyai maksud yang disampaikan secara berlapik. Penganalisisan pelbagai ujaran yang terdapat dalam teks membolehkan pembaca memahami secara tepat maksud sebenar yang ingin disalurkan oleh pengarang. Perkara ini dilihat sangat penting diketahui oleh golongan penulis agar mereka dapat menghasilkan karya yang mempunyai nilai estetika yang lebih tinggi.

1.6.4 Pemimpin

Pemimpin merupakan orang yang sangat dihormati dalam sesuatu organisasi. Kegagalan seseorang pemimpin berkomunikasi dengan baik akan menyebabkan organisasi di bawah pimpinannya kurang harmoni. Teguran-teguran kasar yang tidak bersopan akan menyakitkan hati kakitangan organisasi tersebut. Oleh yang demikian, pemimpin perlu bijak berkomunikasi supaya tidak menyakitkan hati kakitangannya. Kebolehan pemimpin menegur kakitangannya dengan lembut dan bersopan akan menjadikan kakitangannya lebih menghormatinya.

1.6.5 Penyelidik

Kepentingan seterusnya ialah berdasarkan dapatan kajian ini, pengkaji akan menghasilkan satu model komunkasi berimplikatur dari sudut pandangan masyarakat Melayu. Penghasilan model ini sangat penting kerana setakat ini belum ada ada pengkaji yang menghasilkan model berkaitan komunikasi berimplikatur. Setelah terhasilnya model tersebut, pengkaji-pengkaji akan datang dapat menggunakannya dalam kajian mereka. Hal ini akan menambahkan lagi bidang kajian yang boleh dijalankan pada masa hadapan.

1.7 Skop kajian

Komunikasi merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Dalam komunikasi lisan, bahasa merupakan elemen utamanya.Pengkajian sesuatu bahasa mencakupi ruang lingkup yang sangat luas, iaitu meliputi segala aspek tentang bahasa tersebut. Namun demikian, kajian ini hanya memberi tumpuan terhadap komunikasi berimplikatur dari sudut pragmatik

Bahan yang menjadi sampel kajian ialah komunikasi berimplikatur yang terdapat dalam Sejarah Melayu yang diselenggara oleh W.G Shellabear. Pemilihan komunikasi berimplikatur ini berdasarkan kesesuaiannya untuk dianalisis menggunakan pendekatan pragmatik. Dalam mengkaji komunikasi berimplikatur ini, pengkaji akan menggunakan Teori Relevans sebagai landasan kajian. Teori ini mengetengahkan prinsip konteks, kesan konteks dan usaha memposes dalam usaha untuk mendapatkan makna sebenar komunikasi berimplikatur. Prinsip-prinsip ini digunakan bagi menganalisis komunikasi berimplikatur yang terdapat dalam teks tersebut secara mendalam. Hal ini kerana dengan menggunakan prinsip-prinsip tersebut, makna sebenar sesuatu ujaran akan diketahui. Pengetahuan tentang makna sebenar sesuatu ujaran akan membantu pembaca atau pengguna bahasa memahami dengan lebih mendalam terhadap bahan yang dibaca.

1.8 Batasan Kajian

Dalam melaksanakan kajian ini, pengkaji menghadapi masalah atau halangan yang menjadi batasan-batasan yang tidak dapat diatasi. Antara batasan yang paling ketara ialah kurangnya bahan rujukan yang boleh dijadikan panduan oleh pengkaji untuk menyelesaikan kajian yang dijalankan. Kekurangan sumber ini kerana bidang komunikasi berimplikatur yang dianalisis berdasarkan prinsip pragmatik ini masih belum popular di negara ini

Di samping itu pengkaji juga tidak berjaya mendapatkan teks sejarah Melayu yang asli tulisan Tun Sri lanang kerana teks ini hanya terdapat dalam simpanan pihak-pihak tertentu sahaja dan disimpan rapi untuk memastikan keselamatannya. Oleh yang demikian pengkaji memilih teks yang diselenggara oleh WG Shellabear kerana teks ini merupakan teks yang lebih sesuai dijadikan subjek kajian berbanding dengan teks yang digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah.

Pengkaji juga berusaha mendapatkan pandangan-pandangan atau pendapat daripada pakar-pakar sastera tradisional yang berada diuniversiti-universiti tempatan. Pandangan atau pendapat ini akan dijadikan panduan dalam menganalasis teks tersebut. Walau bagaimanapun kesibukan dengan tugas menyebabkan mereka amat sukar ditemui dan hal ini menyebabkan kajian-kajian yang dijalankan agak terganggu.

1.9 Kerangka Teori

Kerangka teori merupakan asas kepada penyelidikan yang akan dijalankan oleh seseorang pegkaji. Teori yang dipilih mestilah benar-benar mampu untuk menghuraikan aspek-aspek kajian yang hendak dikaji. Oleh yang demikian, dalam kajian ini pengkaji akan menggunakan Teori Relevans yang diperkenalkan oleh Sperber dan Wilson pada tahun (1995), (1998), (2002) sebagai kerangka teori kerana kemampuan teori ini menghuraikan aspek tersurat yang terdapat dalam sesuatu komunikasi ( Hussin (2009), Mustaffa (2010).

Dalam kajian ini pengkaji akan mengkaji komunikasi berimplikatur dalam teks Sejarah Melayu menggunakan Teori Relevans dan melihat bagaimana konteks, kesan konteks dan usaha memproses mampu menghuraikan makna tersirat yang terkandung dalam komunikasi. kajian ini akan menggunakan kaedah kualitatif dan teks sejarah Melayu merupakan bahan sumber utama akan akan dijadikan subjek kajian.

Rajah 1.1. Kerangka Teori Komunikasi Berimplikatur

1.10 Kerangka konsep

Kerangka konsep ( Rajah 1.2 ) dilakarkan untuk menggambarkan kaitan antara kaedah yang digunakan dengan bahan kajian dan objektif kajian yang hendak dicapai.

TAJUK:

KEMAHIRAN INSANIAH DALAM TEKS SEJARAH MELAYU: ANALISIS (KOMUNIKASI BERIMPLIKATUR)

TEORI RELEVANS

SPERBER DAN WILSON

(2002)

KAEDAH

KAJIAN PUSTAKA

ANALISIS DATA

BAHAN KAJIAN

TEKS SEJARAH MELAYU

( WG SHELLABEAR)

OBJEKTIF KAJIAN

1. menganalisis penggunaan implikator

dalam Teks Sejarah Melayu

2. mengenalpasti fungsi implikator dalam

sejarah Melayu untuk menyampaikan

mesej bahasa dan budaya Melayu

3. menghasilkan model komunikasi

berimplikatur

DAPATAN KAJIAN

RUMUSAN

IMPLIKASI KAJIAN

CADANGAN

ANALISIS DATA

DESKRIFTIF

( HURAIAN)

MODEL KOMUNIKASI BERIMPLIKATUR


Rajah 1.2: Kerangka konsep kajian

1.11 Definisi

Dalam kajian ini pengkaji akan menggunakan beberapa istilah yang akan dijadikan paduan atau pegangan agar kajian yang dijalankan tidak terkeluar daripada skop kajian yang telah ditetapkan sebelumnya. Istilah-istilah yang digunakan oleh pengkaji adalah seperti berikut:

1.11.1 Kemahiran Insaniah

Kemahiran insaniah menurut Kementerian Pengajian Tinggi ( 2006) merupakan kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan . Kemahiran ini perlu dimiliki oleh seseorang pekerja tanpa mengambil kira jawatan, pekerjaan dan sektor pekerjaan yang sedang atau bakal diceburi( Ahmad Esa ,2005). Kemahiran insaniah merangkumi aspek kemahiran generik seperti nilai positif, kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi serta pembelajaran berterusan.

Dalam kajian ini, kemahiran insaniah hanya berfokus kepada satu elemen sahaj iaitu kemahiran komunikasi. Oleh yang demikian, kemahiran-kemahiran yang lain tidak akan diberi sebarang penekanan.

1.11.2 Teks Sejarah Melayu(SM)

Sejarah Melayu meupakan teks yang ditulis oleh Tun Sri lanang pada tahun 1612 di Johor. ( Rogayah A. Hamid &Etty Zalita Zakaria: 2007) Pada zaman kedatangan Inggeris, teks ini telah diselenggara semula oleh R.o Winstedt dan W.G Shellabear. Menurut ensaikopedia wikipedia bebas terdapat sekurang-kurangnya 29 versi Sejarah Melayu tetapi yang paling masyhur adalah versi Shellabear. Teks SM merupakan teks yang mengisahkan pengalaman-pengalaman sejarah yang dialami oleh raja-raja Melayu yang memerintahMelaka dari awal abad ke-15 hingga awal abad ke 17 Dengan perkataan lain, inti ceritanya ialah berkenaan raja-raja Melaka dari pemerintahan rajanya yang pertama hinggalah rajanya yang terakhir apabila portugis menyerang Melaka pada tahu 1511.Di samping judul dalam bahasa Melayu, SM juga dikenali dengan judul Arabnya Sulalatu’l-Salatin yang bermaksud Salasilah Raja-Raja( Mohd Yusof Hashim &Abdul Rahman Kaeh:1994)Menurut Ahmad Sarji ( 2004) Sejarah Melayu merupakan merupakan gambaran yang agak lengkap serta lukisan yang beranika warna mengenai keadaan hidup bangsa Melayu pada zaman dahulu terutamanya golongan yang memerintah iaiatu golongan raja serta bangsawan. Menurut Rogayah dan Etty(2007) teks ini dihiasi dengan pelbagai nada suara yang meninggalkan jalur-jalur perasaan pada pembacanya.

Dalam kajian ini teks Sejarah Melayu yang digunakan adalah Sejarah Melayu Versi Shellabear yang diselenggara yang diterbitkan pada tahun 1994. Oleh yang demikan, teks-teks sejarah Melayu yang lain tidak akan digunakan sebagai subjek kajian. Namun begitu, teks Sejarah Melayu versi selain Shellabear akan dijadikan sebahagian daripada rujukan.

1.11.3 Komunikasi

Komunikasi , meurut Abdul Mua’ti( 2001) merupakan proses berkongsi pengalaman, bertukar-tukar idea, maklumat dan perasaan. Komunikasi dianggap sebagai proses kerana melibatkan satu siri tindakan yang tidak mempunyai permulaan atau penghujung serta selalu berubah-ubah( Seiler & Beall.2002). Menurut Mohammad Yusof (2007) ilmu komunikasi ialah ilmu kemasyarakatan yang secara sistematik mempelajari segala sudut hubungan antara manusia, Menurut Miller ( 2002), takrif komunikasi sentiasa berubah. kepelbagi takrifan tersebut dapat dibahagikan kepada empat bahagian iaitu takrifan yang menekankan penyebaran atau pengiriman mesej, takrifan yang menekankan perkongsian makna, takrifan yang menekankan aspek tingkah laku dan tarkrifan yang menekankan pemujukan.

Dalam kajian ini istilah komunikasi merujuk kepada kata-kata yang disampaikan oleh sesorang watak dalam teks Sejarah Melayu. Kata-kata yang diujarkan pula mengandungi maksud tersirat, yang boleh difahami melalui konteksnya.

1.11.4 Implikatur

Istilah implikatur mula diperkenalkan oleh Grice pada tahun 1975. Menurut Grice dalam Mustaffa ( 2010), implikatur ialah implikatur ialah satu bentuk pentafsiran makna yang melewati batas-batas makna literal sesebuah ayat. Implikatur perbualan dianggap sebagai kenyataan yang harus diambil kira oleh pendengar tentang sesuatu yang ingin disampaikan oleh seorang penutur kepada pendengar dengan membuat andaian-andaian.Implikatur melibatkan ujaran yang diujarkan secara eksplisit dan juga yang dilahirkan secara implisit (Jalaludin: 2003)

Implikatur merupakan pengucapan yang agak sukar difahami kerana dalam wacana tersebut tidak disebutkan secara lansung maksud perkataan yang disampaikan tetapi boleh difahami berdasarkan konteks dan interaksi minda antara penutur dengan pendengar (Vivanco.2006)

Mustaffa ( 2010) implikatur adalah elemen penting dalam perbualan sebab implikatur menentukan wujud atau tidak kerjasama antara penutur dengan pendengar dalam sesuatu perbualan. Penggunaan bahasa yang sering diselindungkan maknanya memang menjadi budaya orang Melayu secara turun temurun termasuklah implikatur sendiri.

1.12 Rumusan

Manusia berkomunikasi menggunakan bentuk bahasa yang pelbagai. Setiap komunikasi yang diujarkan mempunyai makna tertentu berdasarkan tujuan pengucapannya. Pengkajian makna ujaran yang terbina dalam perbualan atau komunikasi lebih menyeluruh akan diperolehi dengan meneroka bidang pragmatik. Secara khususnya, kajian pragmatik adalah kajian tentang interpretasi ujaran, yang mengambil kira prinsip-prinsip tertentu seperti penyelesaian masalah kekaburan dan ketidaktentuan makna ujaran, menentukan makna tersirat, makna konteks dan sebagainya. Pada prinsipnya, kajian pragmatik berkaitan dengan penginterpretasian ujaran yang mengatasi pengkajian makna ayat dan ilmu ini amat sesuai digunakan untuk mengkaji komunikasi berimplikatur.

Pengkajian komunikasi berimplikatur lebih jelas sekiranya keseluruhan wacana ketika berkomunikasi itu tidak diketepikan begitu sahaja. Hal Ini kerana, dengan menganalisis secara keseluruhan berdasarkan wacana akan memberikan gambaran yang jelas tentang pelbagai aspek, termasuklah peristiwa bahasa serta topik yang dibicarakan ketika itu. Oleh yang demikian, teori dan prinsip pragmatik menjadi panduan penting dalam menganalisis ujaran untuk mendapatkan maksud yang sebenar dan menyeluruh.

1 comment:

  1. Aslkm. Bahan yang menarik. Banyak informasi diperolehi dari artikel ini. Sememangnya mesej yang tersirat dalam komunikasi perlukan kajian yang mendalam. Tahniah.

    ReplyDelete